Pewarnaan H&E
From Wikipedia, the free encyclopedia
Pewarnaan hematoksilin dan eosin (selalunya disingkatkan jadi pewarnaan H&E atau pewarnaan HE) merupakan salah satu daripada kaedah pewarnaan tisu utama yang digunakan dalam bidang histologi.[1][2][3] Ia merupakan kaedah pewarnaan yang paling banyak digunakan dalam diagnosis perubatan dan selalunya merupakan piawaian emas.[4] Contohnya, apabila seorang ahli patologi melihat biopsi kanser yang disyaki, keratan histologi mungkin diwarnai dengan H&E.
Kaedah H&E menggunakan gabungan dua pewarna histologi: hematoksilin dan eosin. Hematoksilin mewarnakan nukleus sel dengan warna biru keunguan, dan eosin mewarnakan matriks ekstrasel dan sitoplasma dengan warna merah jambu, manakala struktur lain pula diwarnakan dengan bayangan, rona dan warna hasil gabungan hematoksilin dan eosin pada tahap yang berbeza-beza.[5][6] Disebabkan itulah ahli patologi dapat dengan mudah membezakan antara bahagian nukleus dengan sitoplasma dalam sebuah sel, tambahan pula corak keseluruhan pewarnaan tersebut menunjukkan susun atur sel dan taburan sel secara umum, sehingga dapat memberikan gambaran umum struktur sampel tisu.[7] Oleh itu, pengecaman corak, baik melalui kepakaran manusia sendiri mahupun melalui perisian yang membantu pakar tersebut (dalam bidang patologi digital) dapat menyediakan maklumat histologi.
Kombinasi dua pewarna ini diperkenalkan pada tahun 1877 oleh ahli kimia Nicolaus Wissozky di Universiti Diraja Kasan di Rusia.[8][7]