Ctenophora
From Wikipedia, the free encyclopedia
Ctenofor (ctenophore) ialah filum haiwan invertebrata yang hidup di perairan laut di seluruh dunia, yang turut disebut ampai bulat atau ubur-ubur sikat.[7][8] Makhluk ini terkenal dengan jalur-jalur siliumnya yang digunakan untuk berenang (yang sering disebut "sikat"), dan merupakan haiwan terbesar yang berenang dengan bantuan silium.
Ampai bulat | |
---|---|
"Ctenophorae" dari Kunstformen der Natur oleh Ernst Haeckel, 1904 | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Animalia |
Subalam: | Eumetazoa |
Filum: | Ctenophora Eschscholtz, 1829 |
Spesies jenis | |
Mnemiopsis leidyi[5] | |
Kelas | |
|
Ctenofor dewasa berkisar antara beberapa milimeter hingga 1.5 meter, bergantung pada spesies. Hanya 100 hingga 150 spesies yang telah disahkan, dan mungkin ada 25 spesies lagi belum dihuraikan dan dinamakan sepenuhnya. Contoh umum makhluk ctenofor adalah cydippida dengan badan berbentuk telur dan sepasang sesungut boleh sentut yang berumbai dengan tentilla ("sesungut kecil") yang disaluti oleh koloblas iaitu sel melekit yang menangkap mangsa.
Tubuhnya terdiri daripada gumpalan agar-agar dengan lapisan setebal dua sel di luar, dan yang lain melapisi rongga dalam. Filum ini mempunyai pelbagai bentuk tubuh, termasuk cydippida berbentuk telur dengan sesungut boleh sentut, platyctenida yang rata tanpa sisir, dan beroida bermulut besar yang memburu ctenofor lain.
Hampir semua ctenofor berfungsi sebagai pemangsa yang menangkap mangsa dari sekecil larva dan rotifer mikroskopik hingga sebesar krustasea kecil dewasa; kecuali bagi dua spesies muda yang hidup menjadi parasit pada salpa, yang akan dimakan oleh spesies dewasanya.
Walaupun badannya lembut dan lembik bak agar-agar, terdapat fosil yang dipercayai datang dari ctenofor dijumpai dalam endapan lagerstätten dari awal Kambria sekitar 525 juta tahun yang lalu. Kedudukan ctenofor dalam "pohon kehidupan" telah lama diperdebatkan dalam kajian filogenetik molekul. Ahli biologi mencadangkan bahawa ctenofor merupakan cabang keturunan haiwan kedua terawal, dengan span sebagai kumpulan sebaya bagi semua haiwan multisel yang lain.[9] Ahli biologi lain menegaskan yang ctenofor muncul lebih awal daripada span yang sudah muncul sebelum perpecahan antara cnidaria dan bilateria.[10][11] Namun, analisis semula data menunjukkan bahawa algoritma komputer yang digunakan untuk analisis disesatkan oleh adanya gen-gen ctenofor tertentu yang berbeza dengan spesies lain.[12][13] Kajian filogenetik molekul menunjukkan bahawa leluhur ctenofor moden adalah makhluk seakan cydippida yang turun daripada pelbagai cydippida setelah peristiwa kepupusan Kapur-Paleogen 66 juta tahun yang lalu.