Franco Baresi
pemain bola sepak Itali / From Wikipedia, the free encyclopedia
Franchino Baresi (sebutan bahasa Itali: [ˈfraŋko baˈreːzi; -eːsi]; lahir 8 Mei 1960) merupakan seorang bekas pemain dan pengurus bola sepak Itali. Sepanjang kariernya selama 20 tahun bersama Milan, beliau sering beraksi sebagai sweeper atau bek tengah dengan menjadi kapten pasukan kelab itu buat selama 15 musim. Beliau dianggap sebagai salah satu pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman dan menghuni tempat ke-19 dalam senarai 100 pemain terhebat pada abad ke-20 yang dikeluarkan oleh majalah World Soccer.[2] Bersama Milan, beliau telah menjuarai tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah, enam kejuaraan Serie A, empat trofi Supercoppa Italiana, dua gelaran Piala Super Eropah dan dua trofi Piala Antara Benua.
Maklumat peribadi | |||
---|---|---|---|
Nama penuh | Franchino Baresi[1] | ||
Tarikh lahir | (1960-05-08) 8 Mei 1960 (umur 64) | ||
Tempat lahir | Travagliato, Itali | ||
Ketinggian | 1.76 m (5 ka 9 in) | ||
Posisi permainan | Pertahanan | ||
Kerjaya remaja | |||
1972–1977 | Milan | ||
Kerjaya Senior* | |||
Tahun | Pasukan | Kmcln | (Gol) |
1977–1997 | Milan | 532 | (16) |
Pasukan kebangsaan | |||
1982–1994 | Itali | 81 | (1) |
Pasukan diurus | |||
2002–2006 | Milan Primavera | ||
2006–2008 | Milan Primavera (Berretti) | ||
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik |
Bersama pasukan kebangsaan Itali, beliau merupakan anggota skuad Itali yang merangkul trofi Piala Dunia 1982. Beliau juga beraksi dalam saingan Piala Dunia 1990, di mana beliau disenaraikan ke dalam Pasukan Terbaik Kejohanan selepas membantu Itali menduduki tempat ketiga kejohanan. Dalam kejohanan Piala Dunia 1994 pula, beliau dijadikan sebagai kapten pasukan Itali dan menjadi tonggak penting pasukan untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan walaupun beliau gagal menyumpurnakan tendangan penalti dalam aksi penentuan penalti yang berakhir dengan kemenangan Brazil. Baresi juga mewakili Itali dalam Kejohanan Eropah pada edisi 1980 dan 1988 serta kejohanan Olimpik 1984, yang mana setiap kejohanan disertainya itu menyaksikan Itali layak ke peringkat separuh akhir.
Abang beliau yang juga bekas pemain bola sepak iaitu Giuseppe Baresi. Selepas menyertai pasukan senior Milan sebagai pemain muda, Franco Baresi pada awalnya digelar "Piscinin", daripada dialek Milan yang bermaksud "yang kecil". Selepas mempamerkan pencapaian dan kemahirannya, beliau kemudiannya dikenali sebagai "Kaiser Franz", untuk merujuk kepada pemain sweeper, Franz Beckenbauer.[3] Pada tahun 1999, beliau telah diundi sebagai Pemain Terbaik Milan Abad Ini. Selepas mengakhiri musim terakhirnya bersama Milan pada tahun 1997, pihak kelab mengisytiharkan nombor jersi 6 beliau sebagai nombor penghargaan dan tidak digunakan lagi.[4] Beliau telah disenaraikan oleh Pelé sebagai salah satu 125 Pemain Bola Sepak Terhebat dalam majlis anugerah ulang tahun FIFA selama seabad pada tahun 2004.[5] Baresi juga dimasukkan ke dalam Dewan Kemahsyuran Bola Sepak Itali pada tahun 2013.