Hammurabi
From Wikipedia, the free encyclopedia
Hammurabi (bahasa Akkad dari bahasa Amorit ʻAmmurāpi, "saudara itu penyembuh", dari ʻAmmu, "saudara sebelah ayah", dan Rāpi, "penyembuh"; (mangkat sekitar 1750 SM) merupakan raja keenam Babylon (dalam Dinasti Pertama Babylon) mulai 1792 SM hingga 1750 SM kronologi sederhana (1728 SM – 1686 SM kronologi singkat).[2] Baginda menjadi raja pertama Empayar Babylon ekoran penurunan takhta ayahandanya, Sin-Muballit, kemudian meluaskan penguasaan Babylon ke atas Mesopotamia dengan memenangi peperangan demi peperangan terhadap negeri-negeri yang berdekatan.[3] Biarpun empayarnya menguasai seluruh Mesopotamia sewaktu kemangkatannya, namun pewaris-pewarisnya tidak mampu memelihara penguasaan baginda.
Hammurabi terkenal kerana menggubal undang-undang Kod Hammurabi, iaitu salah satu contoh undang-undang awam bertulis yang terawal dalam catatan sejarah. Undang-undang ini tertera pada prasasti setinggi lapan kaki (2.4 meter) yang ditemui di negara Parsi pada tahun 1901. Atas baktinya sebagai penggubal undang-undang kuno pada zaman moden, potret Hammurabi terdapat pada bangunan-bangunan kerajaan di seluruh dunia.