Masjid al-Aqsa
From Wikipedia, the free encyclopedia
Al-Aqsa (Arab: الأقصى, rumi: Al-Aqṣācode: ar is deprecated ) atau Masjid al-Aqsa (Arab: المسجد الأقصى, rumi: al-Masjid al-Aqṣācode: ar is deprecated )[2] ialah sebuah kawasan bangunan-bangunan keagamaan Islam yang terletak di atas Bukit Kuil, juga dikenali sebagai Al-Haram al-Syarif (Arab: الحرم القدسي الشريف, lit. 'Perkarangan mulia yang suci'code: ar is deprecated ), dalam Kota Lama Baitulmaqdis, yang turut merangkumi Kubah al-Sakhrah, banyak masjid dan ruang sembahyang, madrasah, zawiyah, khalwah dan struktur keagamaan dan kubah yang lain, juga empat menara mengelilinginya. Masjid jamek atau ruang solat utama kawasan ini ialah Masjid al-Aqsa, yang turut dikenali sebagai Masjid al-Qibli atau al-Jāmiʿ al-Aqṣā. Sesetengah sumber menyebut ia dikenali sebagai Masjid al-Aqsa, manakala kawasan yang lebih luas kadang kala disebut sebagai kompleks Masjid al-Aqsa atau kawasan Masjid al-Aqsa bagi mengelakkan kekeliruan.[3]
Al-Aqsa Al-Haram al-Qudsi al-Syarif | |
---|---|
المسجد الأقصى الحرم القدسي الشريف | |
Info asas | |
Lokasi | Kota Lama Baitulmaqdis |
Koordinat geografi | 31.778°N 35.236°E / 31.778; 35.236 |
Agama | Islam |
Negara | Negara Palestin |
Pentadbiran | Jordan Jabatan Wakaf dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis |
Pemimpin | Imam Muhammad Ahmad Hussein |
Penerangan seni bina | |
Jenis seni bina | Masjid |
Gaya seni bina | Awal Islam, Mamluk |
Arah muka bangunan | utara-barat laut |
Spesifikasi | |
Arah bahagian hadapan bangunan | utara-barat laut |
Kapasiti | c. 400,000 (anggaran) |
Bil. kubah | dua buah besar + puluhan kecil |
Bil. menara masjid | empat |
Tinggi menara masjid | 37 meter (121 ka) (tertinggi) |
Bahan binaan | Batu kapur (dinding luar, menara, gerbang) stalaktit (menara), emas, plumbum dan batu (kubah), marmar putih (ruang dalam) dan mozek[1] |
Semasa pemerintahan khalifah al-Rasyid, Umar bin Al-Khatab (634-644M) atau khalifah Umaiyah, Muawiyah (661-680M), sebuah dewan solat kecil dalam kawasan ini didirikan berhampiran tapak masjid. Masjid pada waktu kini, terletak di dinding selatan kawasan ini, pada asalnya dibina oleh khalifah Umaiyah ke-5, Abdul Malik (685-705M) atau penggantinya al-Walid I (705-715M) (atau kedua-duanya) sebagai sebuah masjid jamek selari dengan Kubah al-Sakhrah, sebuah binaan peringatan Islam. Selepas musnah akibat gempa bumi pada 746, masjid ini dibina semula pada 758 oleh khalifah Abbasiyah, al-Mansur. Ia kemudiannya dibesarkan pada 780 oleh khalifah Abbasiyah, al-Mahdi, yang kemudiannya mempunyai lima belas buah ruang sayap dan kubah utama. Walau bagaimanapun, ia sekali lagi musnah semasa gempa bumi Lembah Jordan 1033. Masjid ini dibina semula pada khalifah Fatimiyah, al-Zahir (1021–1036), yang mengurangkan kepada tujuh ruang sayap aisles tetapi menghiasi bahagian dalamannya dengan gerbang tengah yang rumit dilitupi mozek tumbuh-tumbuhan; struktur binaan yang dikekalkan kini.
Semasa zaman pengubahsuaiannya, pemerintah Islam yang mentadbir telah membina bahagian tambahan masjid ini, seperti kubah, menara, muka bangunan, mimbar dan binaan dalaman. Semasa penaklukan Tentera Salib pada 1099, masjid ini digunakan sebagai istana; juga sebagai pejabat utama pentadbir agama Kesateria Templar. Selepas kawasan ini dikuasai semula oleh Islam melalui Salahuddin Al-Ayubi pada 1187, fungsi bangunan ini sebagai masjid dikembalikan. Lebih banyak projek pengubahsuaian, pembaikan dan perluasan dilakukan pada abad seterusnya di bawah pemerintahan kesultanan Ayubiyah, kesultanan Mamluk, kesultanan Usmaniyah, Majlis Tertinggi Islam Palestin Bermandat, dan semasa pendudukan Jordan ke atas Tebing Barat. Sejak permulaan penjajahan Israel ke atas Tebing Barat, masjid ini kekal diletakkan di bawah pentadbiran bebas oleh Jabatan Wakaf dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis, di bawah Kementerian Wakaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat Suci Kerajaan Jordan.[4]
Al-Aqsa memegang kepentingan geopolitik yang tinggi disebabkan lokasinya di atas Bukit Kuil, berdekatan tempat suci dan bersejarah lain bagi Islam, Kristian dan Yahudi, dan menjadi titik ledakan utama konflik Israel–Palestin kini.[5]