Sadur elektrik
From Wikipedia, the free encyclopedia
Sadur elektrik adalah proses yang menggunakan arus elektrik untuk mengurangkan kation logam yang terlarut membentuk lapisan logam nipis sekata pada satu elektrod. Istilah ini juga digunakan untuk pengoksidaan elektrik dari ion negatif kepada substrat pepejal misalnya dalam pembentukan argentum (perak) klorida pada dawai perak untuk membuat elektrod argentum/argentum klorida. Penyaduran elektrik digunakan terutamanya untuk mengubah sifat permukaan objek (lelasan dan ketahanhausan, perlindungan daripada penghakisan, pelinciran, kualiti estetika dan sebagainya), tapi mungkin juga akan digunakan untuk menambah ketebalan pada bahagian yang kurang atau membentuk objek melalui pengelektrobentukan.
Proses yang digunakan dalam teknik penyaduran elektrik ini dipanggil pengelektroendapan yang bertindak seakan-akan sel galvanik secara terbalik. Bahagian yang akan disadurkan adalah katod litar. Dalam salah satu teknik ini, anod dibuat dari logam untuk disadurkan pada bahagian litar tersebut. Kedua-dua komponen direndam dalam larutan elektrolit yang mengandungi satu atau lebih larutan garam logam serta ion-ion lain yang membolehkan aliran elektrik. Sebuah bekalan kuasa membekalkan arus terus kepada anod yang mengoksidakan atom logam atom yang ia terdiri dan memungkinkan mereka untuk larut dalam larutan elektrolit. Pada katod litar pula, ion logam yang terlarut dalam elektrolit dikurangkan pada antaramuka antara larutan dan katod, oleh itu "menyadurkan" katod. Kadar pelarutan anod adalah sama dengan kadar penyaduran katod melalui peredaran arus melalui litar ini. Dengan cara ini, ion-ion elektrolit akan sentiasa ditambahkan oleh anod.[1]
Terdapat juga proses elektrik lain yang menggunakan anod yang tidak punah seperti plumbum atau karbon. Pada teknik-teknik ini, ion logam yang bakal disadurkan ini harus ditambah secara berkala di dalam larutan sebaik ion ditarik keluar daripada larutan elektrolit.[2] Penyaduran elektrik paling biasanya digunakan untuk membuat duit syiling seperti kepingan satu sen (penny) yang terdiri daripada kepingan zink kecil dilapisi kuprum.[3]